Kau mesti mulakan mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati- mati hati dalam mengharap cinta ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya dari matinya jasad yang lahir ini.
Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunanNya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.
Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah al-Qur’an dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul Junjungan. Jua teringat pesan Imam al-Ghazali r.m.h:
“ Carilah hatimu ditiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Qur’an. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati lagi.”
Semak-semaklah kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu…telah kau bukakan hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telah kau ucapkah, segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendengaranmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.
Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera al-Qur’an dan bacalah. Bacalah…itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk nenghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al-Qur’an umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al-Qur’an segalanya tidak berguna.
Ingatlah wahai orang yang bermujahadah…tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai ke hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada dijalan tetapi di sepanjang jalan… Genggam al-Qur’an, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!
No comments:
Post a Comment